Hobi Penentu Kejayaan


Bismillahirrahmanirrahim. Syukur kehadrat Ilahi di atas kesempatan ini kita masih diberikan kudrat dan keringat untuk terus bernafas dan berusaha menempuh onak duri perjalanan sebagai hamba yang hina bagi mempersiapkan diri untuk akhirat kelak. Moga kita tidak terlupa daripada landasan yang betul dan terus istiqamah dan tawakkal dalam setiap usaha yang dilakukan. Insha Allah.

It has been almost two years since the last story updated on May 2015. Pejam celik pejam celik tak sangka hampir dua tahun itu juga aku banyak belajar benda baru, jumpa rakan baru dan tempuh dunia baru. Seperti yang pembaca tahu, aku sekarang sambung belajar dalam diploma kejuruteraan Kimia di UiTM Pasir Gudang, Johor tapi cerita tentang itu aku akan sambung dalam post selepas ini. :-) 

Pembaca sekalian,



Semua insan yang dilahirkan di atas bumi ada nalurinya dan minat yang tersendiri. Ada yang minat mencipta sesuatu benda baharu dan ada juga yang minat menggembara. Walaubagaimanapun, terdapat kemungkinan bahawa ada insan lain yang sama pendapat dan hobi seperti kita. Akhirnya menjadikan dua individu sebagai kawan baik. Sesetengah orang menemui rakan karib melalui hobi yang dilakukan secara kebetulan. Tengah memancing sambil menunggu tangkapan, kekadang kita berborak dengan orang sebelah bertanyakan keadaan dan berkongsi lawak jenaka. Dek seronok berborak dan ketawa sehingga lupa yang tangkapan mengena. Punya la seronok berborak sampai terlupa masalah harian. Dalam kes ni, hobi menjadi penghubung dan penguat ikatan persahabatan.

Situasi tu juga adalah salah satu contoh hobi yang membawa kepada kejayaan. Hobi menurut Kamus Dewan Edisi Keempat ialah kegemaran yang diamalkan pada waktu lapang dan bukan pekerjaan yang utama. Contoh hobi yang kebiasaan kita lihat adalah memancing, mengumpul setem, bersukan, menonton televisyen dan lain lain. Setiap hobi ada kebaikan dan keburukannya yang tersendiri kepada seseorang bergantung kepada masa dan komitmen seseorang sama ada individu itu melebihkan hobi berbanding pekerjaannya atau sebaliknya. Apabila kita mempunyai banyak masa lapang dan terluang, eloklah kalau kita penuhkan masa tersebut dengan sebaiknya daripada terbaring tidur dan bermain media sosial sahaja,

Pemilihan tajuk entry ini bertujuan untuk menerapkan nilai positif dalam pemilihan hobi dengan berpandukan kesannya pada masa hadapan. Pemilihan hobi penting kerana setiap hobi tersebut mampu membentuk diri dan jati diri seseorang. Post kali ni tidak bertujuan untuk menyalahkan seseorang dalam hobi yang disukai namun tujuannya supaya pembaca dapat menerima dengan hati yang terbuka dalam pemilihan hobi yang mampu memberi manfaat kepada diri mahupun orang sekeliling.

Bagi pendapat personal, antara contoh hobi penentu kejayaan ialah penglibatan dalam aktiviti sukarelawan.


Pada pendapat sesetengah pembaca, anda mungkin beranggapan bahawa sukarelawan bukanlah dikategorikan dalam hobi namun berdasarkan pemerhatian dan pertanyaan daripada beberapa pihak, ada rakan rakan seperjuangan yang memilih sukarelawan sebagai hobi utama tatkala orang lain sedang leka bermain permainan video di kaca televisyen dan memuat naik status harian di laman sosial. Mereka lebih gemar menyertai badan badan sukarelawan seperti IM4U, Yayasan Sukarelawan Siswa, kelab Penyayang (peringkat universiti) dan khidmat komuniti yang lain. Aktiviti sukarelawan mempunyai lebih banyak kebaikan daripada keburukan. 

Individu yang terlibat dengan sukarelawan akan lebih terdorong untuk bersikap tolong menolong dan aktif dalam perhubungan sosial bersama masyarakat atau individu yang lain. Sikap sebegini yang akan menjadi rebutan majikan dan menjadi batu loncatan dalam aplikasi permohonan universiti atau pekerjaan. Apabila ditemu duga, individu tersebut akan lebih bersikap peramah dan yakin dalam perbualan sekaligus menjadikan sesi temuduga berjalan dengan lancar dan mewujudkan tanggapan pertama yang baik buat penemu duga. 

Penemu duga akan lebih tertarik untuk menerima pemohon tersebut ke dalam sebuah institusi atau syarikat kerana mereka percaya bahawa individu itu akan menjadi aktif sepertimana sifatnya ketika menjadi seorang sukarelawan. Individu sebegini tidak berasa segan dan malu untuk bertanya jika nak dibandingkan dengan golongan introvert. Di samping itu, sukarelawan lebih terdorong untuk membantu insan yang dalam kesusahan dan mampu membawa perubahan kepada masyarakat sedikit demi sedikit. Sebagai contoh, sukarelawan membantu homeless people dengan memberikan makanan dan pakaian hasil daripada kutipan derma orang ramai. Sukarelawan dilihat sebagai seseorang yang mampu mewujudkan kerjasama dalam sesuatu tenaga kerja dan rajin dalam penyiapan sesuatu tugasan. 

Wajarlah individu yang mempunyai hobi dan pengalaman sukarelawan menjadi demand syarikat dan insitusi negara yang membangun ini. Oleh kerana itu jualah pembaca bolehlah untuk mula memupuk minat dalam bidang sukarelawan dan aktif berbakti untuk khimat masyarakat demi kebaikan diri dan masyarakat di sekeliling kita.

Contoh hobi kedua yang menjadi pilihan penulis ialah bersukan sama ada indoor mahupun outdoor.



Hampir semua daripada kita gemar bersukan khususnya pada waktu petang setiap hari. Pelbagai jenis sukan yang diperkenalkan seperti bola sepak, bola tampar, boling, badminton, hoki, ragbi, kriket, tenis dan lain lain lagi. Secara umum, semua jenis sukan memberi impak yang sama terhadap diri seseorang. Jika kita terlibat dalam sesuatu sukan, kita akan lebih bersifat aktif dan mempunyai daya peka yang tinggi. Setiap sukan dan permainan memerlukan ketangkasan minda dan fikiran yang pantas. Keputusan harus dibuat secara spontan dengan mengira kesan dan akibat tindakan dalam masa yang sangat singkat. 

Ketumpuan dan daya fikiran kritis yang tinggi menjadikan seseorang itu lebih semangat untuk melakukan pekerjaan yang lain sebagaimana fokusnya ketika bersukan. Bersukan di samping itu menjadikan kita lebih bersifat daya saing yang tinggi, Kalah dan menang adalah adat dalam bersukan. Tidak semestinya pihak yang menang akan merangkul kejuaraan buat masa yang panjang kerana wujud persaingan yang tinggi tahun demi tahun. Semangat kesukanan mampu membentuk sifat kerjasama dan tidak putus asa dalam mencapai sesuatu objektif. 

Jika kita betul bersungguh-sungguh dalam sukan, kita boleh melibatkan diri dalam sukan yang dianjurkan. Sebagai contoh, saya pernah melibatkan diri dalam sukan ANSARA (Anak Sains Mara) secara 3 tahun berturut-turut dalam sukan bola keranjang. Pengalaman bermain bersama pemain handal yang lain mampu memberi pengalaman dan pengajaran dalam memperbaiki teknik sekaligus menaikkan lagi semangat untuk terus maju dalam sukan. Penglibatan dalam sukan luar ataupun dalam universiti/sekolah mampu diguna pakai dalam permohonan tempat pendidikan dan pekerjaan. Pemohon yang pernah terlibat dengan sukan dalam berbagai peringkat akan dilihat sebagai seorang yang aktif dan cepat dalam pelaksanaan sesuatu pekerjaan.

Jika seseorang itu kurang mahir dalam pendidikan dan pembelajaran, sukan menawarkan pekerjaan dan latihan bagi individu yang berminat agar bakat sukan tersebut tidak lenyap ditelan zaman. Zaman millenium ini, banyak pekerjaan yang memerlukan seseorang itu aktif dalam dunia sukan. Paling kurang pun, kita boleh menjadi seorang guru pendidikan jasmani dan kesihatan di sekolah awam atau personal trainer yang rata-ratanya meraih pendapatan yang mencukupi. Apabila kita bersukan, kita dapat memperolehi tubuh badan yang sihat dan kurang risiko daripada diserang pelbagai penyakit. Hal ini akan memudahkan pelaksanaan ibadah dengan khusyuk dan tenang.

Semoga dengan berkat penglibatan sukan melalui niat yang betul, pasti sukan yang kita mahir akan memberi manfaat dalam kehidupan seharian.

Selain itu, kita boleh juga menjadikan fotografi sebagai hobi yang baru atas sebab yang tertentu.


Seperti yang kita tahu, dunia fotografi memerlukan pengetahuan dan ketepatan yang tinggi. Setiap tangkapan yang terhasil daripada sebuah lens kamera mempunyai maksudnya yang tersendiri. Walaupun fotografi memerlukan kos yang tinggi ketika awal penglibatan, namun pulangan yang menanti kepada peminat tegar pasti membuahkan hasil yang lumayan. Sesetengah individu gemar menangkap gambar melalui kamera DSLR dengan bertujuan untuk tatapan diri sendiri sahaja. Mereka merasakan bahawa hasil tangkapan gambar mereka tidak sehebat yang lain dan juga atas faktor kurang mahir.

Di Malaysia, terdapat pelbagai persatuan dan pertandingan yang dianjurkan bagi memupuk minat fotografi dalam kalangan pengguna yang baharu. Hanya dengan sekeping gambar, seseorang individu boleh memenangi pertandingan yang membawa pulangan beratus ringgit. Namun begitu, teknik dan skill yang betul haruslah dipelajari terlebih dahulu agar gambar yang dihasilkan tersebut mempunyai maksud dan nilainya yang tersendiri dan berkualiti tinggi.

Fotografi juga boleh dijadikan sebagai modal untuk kita menjana pendapatan. Saya mempunyai seorang rakan sebaya yang sangat meminati dan mahir dalam fotografi sehinggakan beliau sanggup berbelanja untuk menghadiri seminar dan belajar daripada pakar-pakar dalam penghasilan gambar yang berkualiti. Kekadang, beliau mengajar rakan-rakannya yang turut sama meminati di satu kawasan di belakang perumahan. Kami akan cuba untuk menangkap gambar pemandangan dan Keretapi Tanah Melayu (KTM). Pelbagai teknik digunakan dalam sesi belajar tersebut. Beliau juga pernah diundang sebagai jurugambar perkahwinan, jurugambar event, jurugambar sesi photoshoot dan lain lain sehinggakan mampu membuka syarikat sendiri pada peringkat awal (kini). Saya berharap agar beliau terus maju dalam bidang fotografi dan perniagannya, Insha Allah.

Kesimpulannya, saya berharap agar pemilihan hobi itu mampu memberi manfaat di kemudian hari. Mungkin manfaatnya tidak memberikan kelebihan untuk masa kini namun ia mungkin memberi manfaat untuk jangka masa yang panjang. Hobi mampu membentuk peribadi seseorang dan menjadi batu loncatan pada masa hadapannya. Insha Allah. Ajukan pendapat personal pembaca dan saya meminta maaf jika terdapat kekurangan dan kesalahan. Perbetulkan saya dan kita sama sama belajar daripada kesilapan Insha Allah. Assalamualaikum


Comments

Popular posts from this blog

Dilema Dalam Menentukan Pilihan Tawaran Belajar Selepas SPM

SUCH A NICE EDUCAMP UTP 2015 STORY