Realiti Pergerakan Rentas Negeri (PKP/PKPB) ke Negeri Sarawak 2021

 Assalamualaikum. Bersua lagi kita since post saya yang latest 4 tahun lepas. Harap semua sihat sentiasa 😊. Harini saya nak share tentang pengalaman saya datang ke Sarawak pada musim PKP/PKPB haritu. Ini termasuk proses EnterSarawak dan ExitSarawak sebagai non-Sarawak resident yang telah saya lalui. Saya berniat untuk jadikan post kali ni ringkas dan padat supaya mesej sampai ke para pembaca sekalian. Saya akan bahagikan kepada beberapa bahagian bagi kemudahan pembaca.

Bab 1: Tujuan

Seperti yang kita tahu, pergerakan merentas negeri adalah sangat terhad, lebih-lebih lagi yang mahu ke Sarawak atau Sabah. Sebab itu, tujuan pergerakan sangat penting khususnya apabila ditanya nanti oleh pihak polis dan kaunter imigresen di airport. Untuk rujukan, boleh layari SDMC bagi tujuan informasi untuk dokumen-dokumen penting mengikut kategori. Tujuan saya lebih merujuk kepada personal reasons sebab saya datang ke negeri Sarawak adalah untuk tujuan latihan industri (industrial training) di Kuching.

Ini adalah contoh syarat umum terkini. Ianya tertakluk kepada sebarang perubahan daripada Sarawak Disaster Management Committee (SDMC). Makluman awal, saya menulis ini hanya berdasarkan pengalaman. Dan juga diingatkan bahawa alasan percutian memang tiada tolak ansur ye. Memang tidak dibenarkan.

Bab 2: Checklist dokumen-dokumen penting.

Untuk part ni, lebih senang saya lampirkan dalam bentuk bullet points. Berdasarkan pengalaman, adalah lebih baik jika siapkan dokumen seperti berikut:

  1. Borang Permit Pergerakan PKPB
  2. Boarding pass
  3. Dokumen sokongan pergerakan daripada pihak syarikat/pihak di Sarawak.
  4. Dokumen sokongan pergerakan daripada pihak Universiti (bagi pelajar yang membuat Intern)
  5. Passport
  6. Salinan IC (Print)
  7. Result Covid Test
Dan dua dokumen penting yang perlu diisi dalam masa yang ditetapkan.
  1. E-Health Declaration Form (12 jam termasuk tiba)
  2. EnterSarawak Form (24 jam termasuk tiba)

Sebagai contoh, jika jadual penerbangan anda bermula pada 1pm hari khamis dan tiba pada 2pm hari yang sama, 

  • E-health Declaration Form hanya boleh diisi selepas 2am
  • EnterSarawak Form boleh diisi selepas 2pm hari rabu.
Nasihat saya, lebih baik jika semua dokumen yang ada dapat diprint sebanyak 2 copy bagi mengelakkan sebarang permasalahan sebelum dan selepas penerbangan dengan pihak berkuasa. Sebab di kedua dua form tersebut, ada QR-Code yang akan di-scan. Tetapi ianya terpulang kepada hak individu. Boleh simpan link approved form tersebut di telefon bimbit sahaja.


Bab 3: Persediaan sebelum berlepas

Sebelum jejak ke KLIA, akan ada dua dokumen penting yang perlu diselesaikan terlebih dahulu iaitu RT-PCR Covid Test dan Borang Permit Pergerakan PKPB.

3.1 Borang permit Pergerakan Polis PKPB

Boleh download borang PDF tu dekat link ini: Borang Permit dan print 2 copy. Sebab pegawai polis tersebut akan simpan 1 copy berserta salinan IC. Sebab itu lebih baik untuk sediakan lebih dokumen (termasuk phostostat RT-PCR Covid Test) jika diperlukan. Untuk ringkaskan kepada pembaca, isi butiran yang tersebut sahaja:
  • Nama
  • No kad Pengenalan
  • Warganegara
  • No pasport (jika bukan warganegara)
  • Alamat
  • No telefon
  • Emel
  • Jenis Kenderaan (Kenderaan yang hantar pembaca pergi ke airport)
  • Jumlah orang
  • Tarikh masa meninggalkan rumah
  • Tarikh masa dijangka balik ke rumah
  • Alamat penuh destinasi.
  • Sebab-sebab permohonan pergerakan
  • Tandatangan pemohon
  • Tarikh
Yang lain-lain boleh biarkan kosong untuk pegawai polis tersebut isi. 

Kalau pembaca ada sebarang kemusykilan atau tak pasti:
  • Tarikh masa dijangka balik ke rumah tu bermaksud tarikh balik ke tempat tinggal di Sarawak. Selalunya hari yang sama lah sebab saya menetap di Kuching di asrama sahaja.
  • Jika tak sure nak isi berapa atau macam mana jikalau jenis kenderaan tersebut adalah uber, boleh biarkan kosong dahulu dan nanti dah sampai di balai polis, boleh mintak penerangan lebih lanjut. Sebab yang hantar saya sebelum ni adalah ayah saya. 
  • Saya pun ada tinggalkan beberapa ruangan kosong sebab tak sure , dan nanti kalau salah nak kena print balik. Harapnya pihak berkuasa dilembutkan hati supaya tolerate dengan keadaan dan soalan para pembaca semua.
  • Adalah lebih baik jika pelajar (yang datang untuk Intern) dan yang lain-lain supaya tetapkan awal lokasi penempatan di Sarawak. Sebab sepanjang perjalanan, daripada pegawai polis hinggalah pegawai kesihatan, mereka akan tanya mana tempat tinggal untuk mengesan penumpang yang menipu tujuan untuk hadir ke Sarawak.
  • Sedikit nasihat daripada pegawai polis yang saya berjumpa sebelum ni, seeloknya datang ke balai polis malam ataupun setelah 12 tengah malam bagi mengelakkan sebarang traffic ketika memohon. 
  • Tiada masa yang ditetapkan untuk mohon permit, dan ianya boleh dilakukan pada bila bila sahaja hatta 24 jam sebelum penerbangan pun dibenarkan.
  • Tidak semua balai polis yang ada menyediakan ruang untuk pengesahan permit pergerakan tersebut. Bolehlah call nombor balai polis terlebih dahulu untuk kepastian. Untuk kepastian, call balai polis (pilihan sendiri) ye, bukan call talian kecemasan.
Lebihan info saya letakkan untuk para pembaca yang akan mohon permit pergerakan di IPD Klang:
  1. Sampai sahaja di luar balai polis, akan ada seorang pegawai berdiri, dan dia yang akan tanya keperluan datang sebelum dibenarkan masuk kedalam pagar. Makluman awal, TIADA borang PKPB yang disediakan. Semua pemohon harus print terlebih dahulu sebelum datang.
  2. Setelah dibenarkan masuk, check suhu dan scan mysejahtera di pondok hadapan.
  3. Depan pondok tu sahaja akan ada satu khemah menunggu. Semua pemohon yang hadir akan beratur di kerusi tersebut. Tiada nombor giliran. Hanya ikut turutan kerusi.
  4. Setelah tiba giliran, pemohon akan dipanggil semula ke pondok hadapan untuk serahkan kad IC dan akan diberikan pas pelawat.
  5. Kemudian, pemohon akan terus naik ke tingkat 4 (seingat saya) untuk beratur sedikit sebelum masuk bertemu pegawai kelas atasan yang akan mengesahkan pergerakan para pembaca. Untuk elak sesat, boleh tanya dahulu pegawai di pondok ataupun ikut sahaja orang yang berada di hadapan.
  6. Dalam bilik tersebut, pembaca akan serahkan borang permit pergerakan tersebut berserta dokumen tambahan. Diingatkan sekali lagi supaya siapkan copy lebihan dokumen asal kerana akan ada dokumen yang diperlukan oleh pegawai polis bagi catatan rekod pemohon.
  7. Setelah selesai, boleh turun semula ke pondok hadapan untuk pulangkan pas pelawat, ambil IC dan pulang.
Ini terpakai sekiranya peraturan terkini kerajaan membenarkan operasi balai polis selama 24 jam setiap hari sahaja. Ianya tertakluk kepada sebarang perubahan dan operasi berlainan bagi setiap kawasan selain Klang.

3.2 RT-PCR Covid Test

RT-PCR ataupun Reverse Transcription Polymerase Chain Reaction adalah satu keperluan yang perlu saya lakukan sebelum penerbangan. Terdapat banyak jenis test yang boleh dilakukan, tetapi para pembaca harus cakna dengan keperluan dan SOP yang telah ditetapkan oleh SDMC. Untuk perjalanan saya sebelum ni, saya dikehendaki buat RT-PCR di pusat kesihatan. 


Sebelum ni, saya lakukan RT-PCR Test di BP Healthcare, Glenmarie, Shah Alam. Bayaran yang dikenakan sebanyak RM200++. Saranan saya adalah buat tempahan dan bayaran online, sebab harganya mungkin kurang daripada harga walk-in.

Info prosedur tambahan untuk para pembaca yang berniat nak lakukan test di situ:
  1. Beratur di kaunter pendaftaran terlebih dahulu sebelum dibenarkan untuk buat Covid Test (kaunter tersebut tiada dalam gambar)
  2. Kemudian, beratur di garisan putih (dalam gambar) untuk tunggu giliran.
  3. Ibu mengandung dan warga emas diberikan keutamaan seperti tempat duduk dan lakukan test serta merta.
  4. Tiada nombor giliran. Hanya ikut turutan mengikut kategori test masing-masing. Jika keliru, ada pegawai kesihatan yang ditugaskan untuk susun kedudukan para pembaca.
  5. Lakukan test tersebut.
  6. Bersurai.
  7. Tunggu keputusan Covid Test. Ianya akan dihantar melalui Email dan notifikasi melalui telefon.
  8. Print surat tersebut untuk kegunaan di balai polis, airport dan sebagainya.
Nasihat saya, datang awal jika para pembaca nak elak beratur panjang dan menunggu lama untuk giliran.


Bab 4: Perjalanan pergi ke KLIA

Perjalanan pergi adalah seperti laluan biasa sahaja. Cuma akan ada sekatan jalan sebelum tiba di KLIA. Boleh tunjuk surat permit pergerakan rentas negeri PKPB tersebut. Highway balik daripada KLIA (sebelum ni) tiada sekatan jalan dilakukan. Hanya laluan pergi ke KLIA sahaja.


Bab 5: Tiba di KLIA

Para pembaca yang dihantar oleh ahli keluarga bolehlah parking di ruangan KLIA yang disediakan. Tidak perlulah drop-off sahaja. Boleh turun bersama ahli keluarga masuk ke dalam KLIA sebelum berlepas. Tapi kebanyakan pengunjung akan drop-off sahaja kerana mereka sudah banyak guna khidmat Grab.

Bagi yang baru menaiki kapal terbang, prosedurnya adalah seperti berikut:
  1. Check-in bagasi di kaunter mengikut lokasi yang ditetapkan dalam boarding pass. Di sini, mereka akan check terlebih dahulu semua dokumen yang saya telah tetapkan dalam Bab 2 sebelum dibenarkan berlepas. Seperti biasa, muatan beg eloklah tidak melebihi had yang dibenarkan.
  2. Boleh masuk ke gate perlepasan, dan sekali lagi pegawai penerbangan akan check dua borang utama masuk sarawak iaitu E-Health Declaration Form dan EnterSarawak Form.
  3. Terus ke kaunter check-in hand luggage.
  4. Setelah selesai pemeriksaan, akan ada kaunter imigresen. Di sini, semua tujuan akan ditanya dan sebagai non-resident yang tidak menetap di Sarawak melebihi 90 hari, saya diberikan satu kertas putih kecil untuk rekod apabila saya pulang. Jika para pembaca yang baru first-time menerima kertas putih tersebut, JANGAN hilangkan. Simpan untuk diberikan pada imigresen ketika pulang ke semenanjung nanti.
  5. Kemudian, boleh terus pergi ke Gate dan tunggu sehingga boarding.

Gambaran situasi di KLIA. Sunyi sepi. Tiada kedai yang buka.

Setelah dipanggil, boarding seperti biasa dan off-we-go!




Bab 6: Tiba di Lapangan Terbang Kuching

Alhamdulillah perjalanan berjalan lancar dan semuanya selamat tiba dengan selamat. Selepas turun daripada pesawat, para pembaca bolehlah pergi ke tandas terlebih dahulu (jika mahu) kerana proses seterusnya akan mengambil masa yang lama. Keluar sahaja dari gate ketibaan pesawat, para pembaca akan disambut oleh sebilangan pegawai kesihatan yang akan menjaga prosedure kesihatan.

Seterusnya, saya akan bahagikan proses kesihatan di lapangan terbang kepada beberapa peringkat.

6.1 Beratur untuk pemeriksaan kesihatan



Berdasarkan gambar yang saya dah besarkan ini, para pembaca yang tiba akan beratur di belakang individu yang memegang bagasi tersebut (dalam gambar). Para pembaca akan beratur mengikut jantina, lelaki dan perempuan. Eloklah urusan ini disegerakan dan elakkan beratur di barisan belakang kerana ianya akan memakan masa yang lama untuk menunggu giliran. Ketika beratur, mereka akan meminta anda untuk mengeluarkan QR-Code daripada dua form iaitu E-Health Declaration Form dan EnterSarawak Form. Di sini jugalah mereka akan pakaikan gelang putih untuk menandakan bahawa anda akan dikuarantin. Beratur ini memang akan memakan masa yang lama. Harap bersabar ye.


6.2 Daftar di kaunter kesihatan

Sejurus giliran anda tiba, anda akan mengisi borang kesihatan berhadapan dengan pegawai kesihatan tersebut. Beliau akan menanyakan tujuan dan anda juga perlu mengisi alamat tempat tinggal setelah habis kuarantin. Setelah tamat dan borang lengkap diisi, para pembaca akan pergi ke kaunter seterusnya, iaitu Covid Test (sekali lagi).

6.3 Covid Test di Lapangan Terbang Kuching

Selepas anda mengisi borang, anda akan beratur untuk membayar Covid Test yang mandatori bagi setiap penumpang. Tiada penumpang terkecuali. Malangnya, saya bukan individu yang menetap di Sarawak, dan Covid Test perlu ditanggung sepenuhnya oleh saya sendiri. Terkesima juga saya sebab tidak sangka bayaran tersebut harus dilakukan serta-merta tanpa apa apa informasi awal. Jujurnya, saya ingatkan Covid Test sebelum ini sudah mencukupi.

Tapi tidak mengapalah, saya bayarkan sahaja. Harganya RM300 untuk dua ujian Covid Test (Yang pertama di lapangan terbang, yang kedua selepas 10 hari di pusat penginapan). Kebetulan juga saya ada cukup cukup sahaja RM300 hasil daripada pemberian ahli keluarga. Setelah bayar, bolehlah lakukan Covid Test seperti biasa.

6.4 Pemeriksaan imigresen

Setelah selesai, bolehlah pergi ke imigresen untuk check sekali lagi sebelum dilepaskan untuk mengambil bagasi. Kemudian, bolehlah keluar daripada gate seperti biasa.

6.5 Pemilihan penginapan

Sebaik sahaja keluar daripada gate tersebut, anda akan disambut oleh pegawai pertahanan awam yang akan bertanyakan anda tentang penginapan. Pada mulanya, saya tidak menjangkakan apa-apa kerana tidak pula saya tahu keputusan tu harus dibuat serta merta. Mereka memberi peluang sama ada:
  1. Duduk di hostel/asrama (random)
  2. Duduk di hotel (random)
Pada mulanya, saya ingin duduk di hostel tetapi pegawai pertahanan awam mengatakan bahawa:
  • Duduk di hostel/asrama tiada bayaran dikenakan tetapi keadaannya tidaklah bersih dan berkemungkinan tiada internet.
  • Duduk di hotel ada internet, tetapi dikenakan bayaran sebanyak RM150 sehari.
Fikirkan balik, saya sangat memerlukan internet sebab saya masih ada final exam untuk dibuat dan ianya memerlukan internet yang stabil. Saya pelajar tahun akhir pada waktu ini. Tetapi kosnya pula mencecah RM2100 untuk 14 hari, terlampau mahal. Bila tanya kepada ahli keluarga, kami tiada pilihan lain selain teruskan dengan option hotel. Tak sanggup untuk risikokan final exam semata mata tiada internet. Namun, terpaksa lah kami dibebani dengan cas sebanyak RM2K.

Sedih bila difikirkan kembali kerana saya pergi ke sana dengan tiada informasi terutamanya kewangan dan pilihan penginapan. Itulah tanggungan yang para pembaca perlu hadap sebagai non-Sarawak resident jika mahu pergi ke Sarawak pada tika ini. Saya tiada pilihan lain kerana syarikat saya itu sahaja yang offer saya penempatan tempat latihan industri. Dan saya juga tidak boleh patah balik. Situasi saya seperti ibarat ditelan mati mak, diluah mati bapak. Namun begitu, jika anda adalah Sarawak resident, anda tidak perlu risau. Anda akan ditanggung sepenuhnya dan akan ditempatkan di hotel-hotel yang disediakan.

Setelah mengambil keputusan, saya memberitahu kepada pegawai tersebut untuk proses seterusnya. Beliau kemudian membawa saya naik kepada salah satu bas tersebut. Di luar lapangan terbang, ada beberapa buah bas yang disediakan mengikut pilihan penempatan. Namun begitu, pilihan hotel ataupun asrama adalah secara random. Tiada pilihan kerana setiap bas tersebut mempunyai destinasi yang lain.



Perjalanan anda akan diiringi oleh pegawai polis sehinggalah anda selamat tiba ke destinasi. Saya kemudiannya tiba di Hilton Hotel, Kuching, Sarawak.


Bab 7: Hilton Hotel, Kuching, Sarawak.


Setelah tiba, saya bawa semua bagasi menaiki tangga masuk ke sebuah bilik untuk mengisi borang hotel. Kemudian, setiap penumpang akan diberikan borang penempatan untuk diisi.  Semua penumpang yang menaiki bas duduk sekali dan seterusnya mendengar taklimat daripada pegawai kesihatan. Setelah selesai, setiap penumpang akan dipanggil oleh pegawai kesihatan.



Saya terkejut sekali lagi bila diberi tahu oleh pegawai kesihatan bahawa bayaran sebanyak RM2K+ sebelum ini harus dibayar dengan serta merta. Saya terkejut dan kecewa sangat. Sudahlah saya tidak punyai wang ditangan lagi, malah dihimpit lagi dengan permintaan besar itu. Untuk makluman para pembaca, saya sudah cuba untuk minta bayar ansuran ataupun bayar setelah saya tamat kuarantin nanti, namun tiada kompromi daripada pihak hotel meskipun saya nyatakan banyak kali saya ni pelajar sahaja. Mereka mengatakan bahawa mereka takut akan penduduk yang lari daripada bayar kepada pihak hotel.

Terpaksa lah saya telefon kedua ibu-bapa dengan tergesa-gesa. Rasa bersalah dan menyesal datang pun ada. Tapi apakan daya, tiada kenderaan untuk bawa saya tukar ke asrama pula. Saya lihat sekeliling mostly Sarawak resident yang tidak perlu pening kepala untuk cari duit sebanyak RM2K dalam sekelip mata. Tapi apakan daya, terpaksalah saya dan keluarga akur dan kami berhutang juga akhirnya untuk seketika. Selesai pembayaran dilakukan, saya diberikan kad bilik dan makanan.

Proses pergerakan para pembaca daripada Semenanjung Malaysia ke Sarawak telah selesai.


Bab 8: Penginapan di Hotel Hilton, Kuching

Penginapan di hotel adalah memuaskan. Tiada khidmat dry cleaning yang diberikan. Jika anda mahu tukar towel, bolehlah hubungi receptionist untuk urusan tersebut.


Pada hari kesepuluh, anda perlu turun seketika untuk Covid Test yang kedua sejak tiba di lapangan terbang.




Di hotel, makanan anda akan diletakkan dihadapan pintu bilik.


Bab 9:Selesai penginapan di Hotel Hilton, Kuching

Setelah penginapan tamat, terus check-out seperti biasa di kaunter hotel. Setelah selesai, anda dengan jayanya tamat proses kuarantin. Tahniah!


Bab 10: ExitSarawak

Urusan Exit Sarawak sangat mudah berbanding Enter Sarawak. Dokumen yang diperlukan hanyalah:
  1. Permit Pergerakan Polis PKPB
  2. Boarding Pass
Untuk covid test, saya dah ajukan kepada pihak SDMC. Beliau dengan jelas memaklumkan bahawa ianya tertakluk kepada negeri yang saya tuju, Jika KL memerlukan Covid Test dilakukan, maka saya perlu jalani test tersebut. Namun, tiada Covid Test diperlukan pada waktu itu. 

Untuk makluman, ExitSarawak form tiada dan tidak diperlukan. Namun, ini tertakluk kepada sebarang perubahan oleh SDMC dan negeri-negeri yang para pembaca tuju. Pergerakan pulang ke semenanjung sangat mudah:
  1. Minta kebenaran pergerakan PKPB daripada balai polis
  2. Pulang semula dokumen kecil putih yang diberikan ketika imigresen pada Bab 5.
  3. Boarding kapal terbang
  4. Tiba di KLIA
  5. Tiada kuarantin diperlukan, semua penumpang boleh pulang serta-merta.

Coretan penulis

Pengalaman pergi ke Sarawak merupakan pengalaman berharga kerana saya berpeluang untuk belajar cabang kejuruteraan kimia yang menjurus kepada wastewater treatment. Namun begitu, saya agak kecewa dengan sistem kuarantin mandatori yang ditetapkan. Bagi saya, Sarawak merupakan sebuah negeri yang sangat sistematik dan sangat mementingkan rakyatnya. Kesungguhan Sarawak untuk bebas Covid-19 jelas terbukti daripada sikap tegas mereka terhadap peraturan kesihatan yang telah ditetapkan. Saya akur dan puji sikap tersebut.

Namun begitu, saya kecewa dengan tiada informasi yang mendalam terhadap risiko dan pilihan yang perlu dihadapi oleh penumpang setibanya di Lapangan Terbang mereka. Sudah setahun lebih Malaysia menghadap Covid-19 namun lain pula situasi yang dihadapi apabila keadaan betul memerlukan. Walaupun final exam saya dapat dilakukan dengan jayanya, penginapan saya selama 2 minggu tersebut terganggu kerana rasa bersalah dan ada menyesal akan perjalanan ini. 

Ini adalah nukilan saya dan mungkin boleh dijadikan pedoman serta penambahbaikan agar rakyat Malaysia yang lain lebih sedia maklum. Saya yakin akan hikmahNYA dan Alhamdulillah saya dapat jadikan pengalaman yang berharga untuk dikongsikan kepada para pembaca. Ini juga sebagai persiapan untuk menjangkakan perkara dan proses yang bakal dihadapi dengan lebih jelas.

Semoga saudara saudari selamat tiba ke destinasi dan dipermudahkan hendakNya. Insha Allah.

Doakan saya juga (Graduan Ijazah) untuk berjaya dapatkan jawatan Chemical Engineer agar saya dapat bayar balik segala hutang saya dengan keluarga. Insha Allah.

Assalamualaikum! 😊

Comments

Popular posts from this blog

Dilema Dalam Menentukan Pilihan Tawaran Belajar Selepas SPM

SUCH A NICE EDUCAMP UTP 2015 STORY

Hobi Penentu Kejayaan